Sunday, April 15, 2012

Bio Terapi Solat

Assalamualaikum. Salam hujung minggu. Pagi ni terbace satu blog menarik daripada seorang kawan mengenai bio terapi solat. Jadi sangat2 gembira nak berkongsi info2 ni dengan rakan-rakan.
Solat merupakan aktiviti regangan yang harmoni dengan keperluan tubuh bagi menjaga kesihatan. Otot kita akan menjadi semakin kuat dengan melakukan regangan ketika solat. Program regangan yang berterusan di dalam solat boleh membantu memanjangkan otot, dan ini akan memudahkan kita melakukan pelbagai aktiviti harian. Regangan ini dapat:
1.       Mengurangkan ketegangan otot
2.       Mencegah kecederaan
3.       Meningkatkan gerakan sendi
4.       Memantapkan koordinasi otot
5.       Meningkatkan kitaran darah
6.       Meningkatkan prestasi tubuh
Semasa melakukan solat, kebanyakkan otot dan sendi akan bergerak. Gerakkan-gerakkan di dalam solat wajib sehari semalam terdiri daripada 17 rakaat. Ianya bersamaan dengan 119 postur fizikal setiap hari, atau 3570 postur setiap bulan dan 43,435 postur setiap tahun. Jumlah gerakan ini semakin bertambah apabila kita melakukan solat sunat.

PERBEZAAN BIO TERAPI SOLAT DENGAN SOLAT BIASA
Sememangnya terdapat perbezaan antara bio terapi solat dengan solat harian yang lazim diamalkan. Perbezaannya ialah dari teknik gerakan bio terapi solat yang lebih menepati sunah Rasulullah SAW. Oleh itu, bio terapi solat ialah kaedah solat yang lebih sempurna untuk mendapatkan khusyuk  secara biologi, sehingga mampu mencegah dan merawat  penyakit.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Mukminun yang bermaksud
“Sesungguhnya beruntunglah (berjayalah) orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang  yang khusyuk di dalam solatnya.”
TAKBIRATUL IHRAM
Gerakan ini dimulai dengan mengangkat kedua tangan sambil menghadap kiblat sambil mengangkat jari-jari dengan lurus ke atas, sehingga ke paras bawah telinga, dengan mengucapkan ALLAHU AKBAR (ALLAH MAHA BESAR), yang disertakan dengan niat.
Teknik ini adalah bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud
“Nabi SAW tatkala mengangkat tangan (ketika takbiratul ihram), baginda menegakkan jari-jarinya dan tidak membuka (terlalu luas) dan tidak pula menggenggam.” (hadis riwayat Abu Daud, Ibn Khuzaimah dan al-Hakim)
Perhatikan teknik gerakan takbiratul ihram……..
Semasa mengucapkan( ALLAHU AKBAR), teknik pernafasan adalah dengan menahan nafas  antara 3 hingga 5 saat, kemudian mengambil nafas baru sedalam yang boleh, dan menghembuskannya secara perlahan-lahan
Gerakkan ini menggabungkan makanisma pengembangan dan pengempisan paru-paru untuk mendapatkan oksigen yang optimum, pengaliran darah yang lancar, pergerakkan otot dan tulang di lengan dan dada. Kemudian gerakkan ini mengintegrasikan sistem pancaindera dengan memfokuskan mata pada tempat sujud, merehatkan telinga dan memusatkan konsentrasi.
MEMBACA FATIHAH
Teknik bacaan fatihah adalah dengan mengawal pernafasan. Apabila membaca (BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM) secara perlahan, masa yang diambil ialah 8 saat atau lebih. Ini bersamaan dengan teknik menarik nafas dan menghembuskannya ketika bersenam.
Teknik membaca fatihah untuk khusyuk
1.    Membaca fatihah dengan mengawal pernafasan.  Iaitu dengan menarik nafas lebih dalam dan menghembus keluar. Jika pernafasan dalam ini ditahan sebelum dihembus keluar, oksigen (O2) akan lebih meresap masuk ke bahagian bawah paru-paru di mana alveoli mendapat oksigen yang optimum, manakala karbon dioksida (CO2) dilepaskan keluar. Dengan diulang menyedut nafas semaksima yang boleh, dan ditahan nafas selama 8 saat atau lebih, otot-otot rangka akan menjadi relaks dan otak kita menjadi tenang kerana oksigen (O2) dibekalkan lebih dari pernafasan biasa. Inilah teknik asas untuk menenangkan seseorang dalam keadaan cemas. Cuba perhatiakan teknik ini di dalam bacaan fatihah dan surah.
 Tempat-tempat untuk menarik nafas lebih dalam ialah:
1.1   Doa iftitah. Sebelum ALLAHUAKBAR KABIRAU…..,sebelum WAJJAHTUWAJHIYA…..dan         sebelum INNA SOLATI….
1.2 Al-fatihah. Sebelum BISMILLAH…… sebelum IYYAKANA’BUDU….. dan sebelum   SIROTOLLADZI….
1.3   Rukuk dan sujud. Iaitu tarik nafas sekali sahaja sebelum atau pada ulangan tasbih kali ke dua
1.4   Sebelum membaca doa ketika duduk antara dua sujud
1.5   Tahiyyat. Sebelum ATTAHIYYATUL…. Sebelum ASSALAMUALAIKA AYYUHANNABI….. sebelum ASSALAMUALAINA…….. sebelum SYAHADAH
Teknik-teknik menarik nafas pada tempat di atas sangat berkesan untuk memberi khusyuk secara biologi kerana ia merangsang otak kiri dan kanan meningkatkan tumpuan kepada solat.
2.       Memfokuskan bacaan sehingga didengari oleh telinga
3.       Membayangkan bentuk huruf dan ayat
4.       Memahami dan menghayati maksudnya
5.       Menfokuskan mata pada satu titik di tempat sujud dengan mengecilkan sudut pandangan. Usahakan tumpuan mata hanya pada tempat sujud tersebut dan tidak berubah semasa berdiri, semasa rukuk, semasa iktidal, semasa turun ke tempat sujud, semasa sedang sujud dan semasa duduk antara dua sujud. Teknik tumpuan mata ini dapat menigkatkan daya tumpuan seseorang dan terapi untuk masalah mata yang rabun.
RUKUK
Teknik rukuk yang ideal ialah dengan membengkokkan badan pada sudut 90 darjah. Caranya ialah dengan membengkokkan badan dengan ( meluruskan kaki )sambil melentikkan badan ke hadapan. Kepala berada pada garis lurus dengan bahu dan tulang belakang. Letakkan kedua tangan ke atas kedua lutut dengan merenggangkan jari jemari sambil menekan kepala lutut. Renggangkan siku daripada perut . Usahakan rukuk sekurang-kurangnya 15 saat (sambil membaca tasbih)
Teknik ini adalah berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud
“Dan apabila Nabi SAW rukuk, beliau menempatkan tangannya di lututnya dan tunduk meluruskan belakangnya”. (Hadis riwayat Bukhari)
Di dalam hadis yang lain bermaksud
“Sesungguhnya Nabi SAW  apabila rukuk, nabi merenggangkan (membuka) jari-jarinya, dan apabila sujud nabi merapatkan jari-jarinya.” (Riwayat Abu Daud, al-Hakim, al-Baihaqi dan ad-Dar qutni)
Postur ini menjaga kesempurnaan fungsi tulang belakang sebagai penyangga tubuh dan pelindung sistem saraf serta mengurangkan tekanan antara tulang-tulang belakang. Gerakan ini merenggangkan ruas antara tulang belakang dengan memanipulasi aliran cecair cerebrospinal (celebral spinal fluid) di dalam otak dan tulang belakang .
Postur rukuk juga dapat melembutkan ruas-ruas tulang belakang bagi mengurangkan kesakitan waktu bersalin khususnya bagi wanita.
Posisi rukuk juga dapat melancarkan aliran darah ke otak, kerana jantung berada pada garis lurus untuk mengepam darah terus ke otak. Usahakan menarik nafas yang dalam ketika rukuk (sekurang-kurangnya sekali) untuk mendapatkan oksigen (O2) yang optimum. Postur ini merupakan  terapi untuk menurunkan tekanan darah tinggi (hypertension), jantung, migrain dan stress.
Postur rukuk juga dapat merenggangkan otot peha dan betis. Melembutkan otot-otot di perut dan pada buah pinggang. Teknik rukuk yang betul juga adalah rawatan yang berkesan  bagi merawat sakit pinggang (lower back pain).
Tangan yang menekan kepala lutut adalah berfungsi untuk membuka tempurung lutut supaya oksigen (O2) dapat dialirkan dengan baik ke lutut. Ia juga adalah terapi untuk menguatkan lutut.
Postur peralihan rukuk ke iktidal juga memberi tekanan pada pundi kencing bagi melancarkan proses membuang air kecil dan mencegah gangguan prostat.
SUJUD
Pergerakkan sujud di dalam solat dimulai dengan meletakkan kedua-dua lutut, kemudian tangan, seterusnya dahi di lantai. Manakala jari kaki dipacak sambil melentik dan menekan ke lantai. Adapun  hidung adalah sunat.  Kedua-dua belah tangan hendaklah direnggangkan dari tubuh badan. Manakala siku diangkat supaya tidak menyentuh lantai. Dahi dan muka berada di antara kedua-dua tangan. Manakala jari-jari dirapatkan. Tekan dahi ke tempat sujud sambil mengangkat sedikit punggung ke atas. Usahakan sujud sekurang-kurangnya 15 saat atau lebih
Postur sujud ini dijelaskan di dalam sebuah hadis yang disepakati oleh majoriti ulama yang bermaksud
“Rasulullah SAW apabila sujud, meletakkan kedua-dua lututnya sebelum tangannya, dan apabila bangkit mengangkat kedua-dua belah tangannya sebelum lutut” (Riwayat Abu Daud, an-Nasai)
Hadis berikutnya Rasulullah SAW bersabda dengan maksudnya:
“Apabila kamu bersujud, hendaklah kamu menekankan dahimu ke bumi dan jangan mencecah cepat semata-mata.” (hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban)
Hadis seterusnya  Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
“Apabila sujud, letakkanlah kedua-dua telapak tangan kamu, dan angkatlah siku kamu” (Riwayat Muslim dan Ahmad)
POSTUR SUJUD WANITA
Berpandukan sebuah hadis yang bermaksud
“Dan wanita tidak merenggangkan (lengan dari rusuknya)” (Riwayat abu Daud dalam Marasil)
Berpandukan hadis tersebut, imam shafiey berijtihad bahawa wanita tidak perlu merenggangkan siku dari badannya sebagaimana lelaki.
Sujud yang wajib setiap hari sebanyak 34 kali. Postur sujud ini dapat meningkatkan aliran darah ke otak kerana kedudukan jantung lebih tinggi dari kepala. Secara automatiknya oksigen (O2) yang optimum dapat disalurkan ke otak. Menurut kajian Dr. Othman Nasir, terdapat banyak manfaat dari segi perubatan apabila seseorang itu bernafas ketika sujud. Antaranya ialah:
1.       Membetulkan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya.
2.       Membetulkan pundi peranakkan yang jatuh (prolapsed uterus)
3.       Melegakan sakit hernia
4.       Mengurangkan sakit senggugut bagi waniata ketika haid
5.       Melegakan bahagian atas paru-paru daripada ketegangan
6.       Mengurangkan kesakitan pada pesakit  appendiks atau limpa
7.       Mengimbangi lingkungan bahagian belakang tubuh
8.       Meringankan bahagian pelvis
9.       Mengatasi masalah sukar tidur malam (insomnia)
10.   Meregangkan otot bahu, dada, leher, perut, punggung (ketika mahu sujud dan bangun darinya.) Gerakkan otot-otot itu menjadikannya lebih kuat dan elastik, secara automatik, akan memastikan kelincinan perjalanan darah yang baik (smooth blood circulation)
11.   Bagi wanita, gerakkan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusu dan terhindar dari penyakit.
12.   Mengurangkan obesity.
13.   Gerakkan bahagian otot memudahkan wanita bersalin, organ peranakkan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit bergelombang perut (convulsions)
14.   Bekalan darah yang beroksigen dapat disalurkan ke otak secara optimum
15.   Mengelakkan pendarahan otak jika kita tiba-tiba menerima darah ke otak secara kuat dan mengejut. Ini dapat mengelakkan penyakit seperti apoplexia rupture of blood vessels dan arterioseclerosis of cerebrum
16.   Dapat merawat penyakit hati seperti riyak, sombong dan takabur kerana posisi sujud adalah lambang  kerendahan hati seorang hamba ke pada Allah SWT
Kontraksi daripada otot-otot rangka yang membantu pergerakkan darah di dalam saluran vena serta tarikan graviti semulajadi meringankan beban aktiviti jantung mengepam darah per minit. Menurut kajian saintifik, posisi sujud mencatatkan denyutan jantung per minit antara 72 dan 73 denyutan per minit berbanding keadaan biasa antara 80-90 denyutan perminit. Oleh itu, posisi sujud merupakan terapi dan rawatan yang efektik bagi masalah kardiovaskular.
 HADITH MENGENAI KELEBIHAN SUJUD
       Keadaan manusia yang paling disukai oleh Allah s.w.t ialah ketika melihat seorang itu sujud dan dahinya menyentuh ke tanah
       Allah s,w.t telah mengharamkan api neraka daripada menyentuh anggota sujud
       Seorang itu sangat hampir dengan Allah s.w.t ketika dia dalam keadaan sujud
DUDUK ANTARA DUA SUJUD (DUDUK IFTIRASY)
Duduk antara dua sujud juga dikenali sebagai duduk iftirasy iaitu duduk selepas sujud. Posisi duduk iftirasy juga sama dengan duduk tahiyat awal. Disebutkan di dalam Sahih Bukhari yang maksudnya:
“Apabila Nabi SAW duduk di antara dua rakaat, maka baginda duduk di atas kaki kirinya dan menegakkan kaki kanannya”
Ketika duduk sebegini, kedua-dua tapak tangan berada di atas peha dan Nabi SAW juga meletakkan sikunya di atas pehanya sambil hujung jari-jarinya memegang hujung bahagian lutut.
Pada kedudukan ini, tumit menekan otot-otot pangkal peha yang besar di mana posisi ini dapat melancarkan pengaliran darah kembali ke jantung. Selain itu juga, posisi ini juga dapat menghindarkan dan menjadi penawar penyakit saraf pangkal peha dan prostat.
Keadaan kaki kanan ketika duduk iftirasy ini hendaklah dipacakkan sambil membengkokkan hujung jari kaki. Kajian perubatan mendapati bahawa perlakuan membengkokkan jari kaki ini dapat mengurangkan jisim lemak badan. Manakala tisu otot pula dapat ditingkatkan. Posisi  ini merupakan terapi dan rawatan untuk mengurangkan pelbagai penyakit seperti sakit jantung, gout dan strok kerana kolesterol badan dan lemak asid urik  dapat dikurangkan.
Manakala bagi mereka yang tidak membengkokkan jari kaki ketika duduk iftirasy ini akan menghadapi risiko pertambahan jisim lemak badan. Manakala jisim tanpa lemak pula berkurangan. Ini menyebabkan tisu otot mengecut dan ruang tersebut pula mula dipenuhi dengan gumpalan lemak badan. Keadaan ini menyebabkan seseorang terdedah kepada penyakit jantung, strok, gout dan kegemukkan.
Kajian yang dilakukan oleh Dr. Sagiran mendapati bahawa posisi duduk ini dapat menghentikan aliran darah utama ke punggung dan menambahkan aliran darah ke otak dan organ dalam yang lain. Pada masa yang sama melancarkan peredaran darah di kaki.
Duduk iftirasy juga dapat mengaktifkan kelenjar peluh yang dilipat pada bahagian peha. Bertemunya lipatan paha dan betis meningkatkan pengeluaran peluh sehingga mampu mencegah pengapuran dengan mengeluarkan mineral dan garam-garam yang mungkin ada pada lipatan peha. Ini adalah rawatan dan terapi bagi menjaga kesihatan buah pinggang kerana bahan toksik dan mineral dapat dikeluarkan melalui kelenjar peluh dan mengurangkan bebanan pada buah pinggang untuk memproses bahan-bahan tersebut.
BANGUN DARI DUDUK TAHIYYAT AWAL
Harus diperhatikan bahawa ketika bangun dari tahiyyat awal atau ketika bangun untuk meneruskan rakaat berikutnya hendaklah menggunakan otot perut, peha dan lutut untuk terapi dan rawatan yang optimum ketika solat. PERHATIKAN TEKNIK GERAKKANNYA!
Elakkan dari menggunakan tangan dan punggung untuk bangun kecuali dalam keadaan tidak berdaya.
DUDUK TAHIYYAT AKHIR
Duduk tahiyyat akhir juga dinamakan duduk tawaruk, iaitu meletakkan seluruh punggung di lantai. Manakala kaki kiri dilipat masuk ke bawah kaki kanan. Seterusnya kaki kanan ditegakkan. Hujung-hujung jari kaki kanan dilentikkan.
Penerangan duduk tahiyyat akhir didapati dari sebuah hadith yang bermaksud:
        “Sehinggalah tatkala nabi SAW berada pada sujud terakhir (yang ada padanya salam penutup), baginda mengeluarkan kakinya (tidak duduk di atas kakinya) dan duduk di atas sebelah kirinya bersimpuh” ( Riwayat al- Bukhari dan Ibn. Hibban)
Pergerakan dari sujud ke tahiyyat akhir dapat mengaktifkan otot lantai pelvik. Sama seperti duduk tahiyyat awal, posisi ini akan melancarkan pengaliran darah kembali ke jantung. Manakala hujung jari kaki yang dilentikkan akan memberi regangan yang kuat untuk memecahkan lemak asid urik yang terkumpul di bawah tapak kaki. Secara tidak langsung, ia merupakan terapi yang efektif untuk mencegah penyakit gaut dan seumpamanya.

MEMBERI SALAM
Teknik  gerakan ini ialah dengan memusing kepala ke kanan sehingga habis serta berhenti seketika antara (3-5 saat sambil membaca doa) dan kemudiannya memusing kepala ke kiri sehingga habis serta berhenti seketika antara (3-5 saat sambil membaca doa), iaitu sekira-kira orang di belakang nampak  bahagian pipi tersebut.
Inilah teknik gerakan salam sebagaimana yang disebut di dalam sebuah hadith yang bermaksud
        “Berkata Amir bin Saad daripada bapanya: Aku nampak Rasulullah SAW memberi salam ke kanan dank e kirinya sehingga aku melihat putihnya pipi baginda” (Riwayat Muslim)
Gerakkan salam iaitu memutar kepala ke kanan (3-5 saat) dan ke kiri (3-5 saat) berguna bagi merenggangkan otot-otot kepala dan leher. Ini menjadi senaman ringan bagi memelihara keanjalan kulit wajah.
KESIMPULAN
Akhirnya, dapatlah disimpulkan bahawa teknik pergerakan di dalam solat merupakan seni yang berkesan untuk mencegah dan merawat pelbagai penyakit. Walau bagaimanapun, gaya hidup yang sepadu dan seimbang  perlu dititik beratkan untuk hidup yang sejahtera di dunia dan di akhirat. Ikhlaskan diri apabila menunaikan solat semata-mata kerana Allah SWT sambil mengharapkan kesejahteraan dan kesihatan dari Allah SWT.

No comments:

Post a Comment

.:: Terima kasih sudi baca. Sila tinggalkan komen anda disini ::.