Thursday, September 22, 2011

Mencari Erti Sebuah Perkahwinan | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan. Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa.
Ketika nabi Adam tinggal di Syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan. Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud "Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya."

Thursday, September 15, 2011

Setia dan Sedia dalam Ikatan

"Ya Allah, jadikan hamba-Mu ini mencintai orang yang beriman dan jadikanlah orang yang beriman mencintaiku." (Riwayat Muslim no. 2491)


Membina ikatan persis membina sebuah mahligai terindah, tapaknya perlu kukuh atas landasan kecintaan, dilengkapi batu bata kepercayaan dan diperteguh tiang kasih sayang. Tampak cantik dihias rona bebunga di taman, saat mentari pagi menyimbah cerlang sinarnya. Si Tiung singgah mengalun, berkicauan lagu cinta, saksi romantisnya jiwa. Namun, membinanya bukanlah semudah menyaksikannya, nampak kirana di mata tetapi memerlukan kudrat dan keringat dalam memacunya.
"Lelaki yang baik diciptakan untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik diciptakan untuk lelaki yang baik."
Dalam memateri sebuah ikatan, elemen setia dan sedia menjadi perlambangan sejauh mana kekuatan sebuah ikatan. Berseminya ikatan tanpa kesetiaan, ibarat menunggu rumah ditelan rebah. Bertautnya ikatan tanpa kesediaan, ibarat menanti mahligai musnah berkecai.

Saat memilih untuk membina ikatan, eloklah diteliti apakah kita telah melengkapi keduanya. Bersetia menjalin cinta dan menongkah badai kehidupan bersama. Tidak pernah goyah diduga godaan, tidak pernah rebah diuji cabaran apatah lagi gundah disuntik rintangan. Hidup bersama rencahnya berjuta. Tika itulah kesetiaan benar-benar memainkan peranan.

Apabila lengkap elemen kesetiaan, lihatlah pula kepada elemen kesediaan. Usah sekadar terpesona dengan lafaz dan janji di bibir manis, namun intailah kesediaan menerima yang tak pernah gerimis. Ilmu agama disisip kemas di dada, agar hasutan syaitan dan iblis bisa ditepis. Sedia membimbing dan dibimbing. Nafsu amarah bukan wasilah melampiaskan kemarahan bukan pada tempatnya. Toleransi sebagai benteng utuhnya rukun sebuah ikatan.

''Sebaik-baik perhiasan di dunia ini ialah wanita solehah''

Ketahuilah wanita solehah, bahawa dirimu amat bernilai. Selautan emas waima segunung permata bukan tandinganmu kerana dirimu jauh lebih tinggi nilainya di kaca mata Islam. Usah mudah memberi cinta, kelak binasa jiwa. Sebaliknya, ujilah si dia agar simpulan kasih tidak mudah terungkai, ikatan sayang tidak mudah bercerai.