عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُبَشِّرُ أَصْحَابَهُ
]قَدْ جَاءَكُمْ شَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرٌ مُبَارَكٌ افْتَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ يُفْتَحُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَيُغْلَقُ فِيهِ أَبْوَابُ الْجَحِيمِ وَتُغَلُّ فِيهِ الشَّيَاطِينُ فِيهِ لَيْلَةٌ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ مَنْ حُرِمَ خَيْرَهَا
فَقَدْ حُرِمَ [
فَقَدْ حُرِمَ [
Maksudnya : Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a : Bahawasanya Rasulullah s.a.w. memberitahu berita gembira kepada sahabat-sahabatnya dengan bersabda : “ Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan yang penuh berkat, Allah mewajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini akan dibuka pintu Syurga, dan akan ditutup pintu Neraka, syaitan-syaitan dibelenggu. Demi Allah di dalamnya terdapat suatu malam yang nilainya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik di dalamnya), sungguh telah diharamkan ( tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini ).
[ HR. Ahmad, an-Nasai dan al-Baihaqi dengan sanad yang Sahih ]
Huraian Hadis
Hadis di atas memberi peringatan kepada kita sebagai hamba-hamba Allah tentang kehadiran satu bulan yang penuh berkat yang mana tidak menyamai bulan-bulan yang lain. Itulah bulan yang dinamakan Ramadhan. Bulan yang telah diwajibkan berpuasa ke atas orang-orang Islam.
Kalam Nabi S.A.W. ini benar-benar memberikan satu impak yang besar kepada kita. Baginda menjelaskan tentang begitu besarnya rahmat Allah S.W.T kerana memberi keistimewaan kepada umat Islam untuk segera berlumba-lumba mendapatkan keampunan daripada Allah S.W.T. Di antara rahmat yang dikurniakan Allah S.W.T kepada kita di bulan yang mulia ini ialah terbukanya pintu keampunan seluas-luasnya untuk hamba-hambanya dan dia membuka pintu-pintu Syurga serta menutup pintu-pintu Neraka, Syaitan-syaitan juga dibelenggu dan dirantai agar tiada jalan bagi mereka untuk mengganggu umat Muhammad ini beribadah di dalam bulan yang penuh barakah. Di dalam bulan ini terdapat satu malam yang sangat berharga bagi orang-orang Islam iaitu Lailatul Qadar yang mana di dalamnya lebih baik daripada seribu bulan.
Sebagaimana yang kita ketahui, umur umat Nabi Muhammad S.A.W ini tidaklah begitu lama jika hendak dibandingkan dengan umur umat nabi-nabi terdahulu. Mereka boleh hidup lama dalam sekitar ratusan tahun sepertimana umur Nabi Nuh 'Alaihissalam.Jika mereka itu dalam golongan orang-orang yang soleh maka sudah tentu amalan mereka mengatasi umat Nabi Muhammad berikutan umur yang panjang telah dikurniakan kepada mereka. Oleh sebab yang demikian, Allah S.W.T telah memberi satu keistimewaan kepada umat Muhammad ini dengan menghadiahkan satu malam sahaja yang boleh menyamai kebaikannya seribu bulan. Subhanallah, begitu besarnya rahmat Allah S.W.T itu. Bukannya kerana amalan kita yang menjamin kita ke syurga, akan tetapi di atas tiket Allah iaitu rahmatnya kita akan mendiami syurga yang serba indah itu InsyaAllah..
Nabi S.A.W juga menyebut di dalam hadis ini bahawa barangsiapa yang gagal mendapatkan kebaikan (keampunan) dari Allah S.W.T di bulan Ramadhan ini; maka sudah tentu di bulan-bulan yang lain mereka juga akan rugi. Ini terbukti jika kita lihat dan muhasabah diri sendiri. Cuba kita lemparkan pertanyaan pada diri kita, benarkah amalan kita begitu banyak di bulan-bulan yang selain daripada Ramadhan? Mampukah kita berpuasa penuh di bulan-bulan yang lain? Bangun malamkah kita pada bulan-bulan yang lain? Jika jawapannya Ya, Alhamdulillah kita mampu mempraktikkan latihan yang kita lalui di bulan Ramadhan pada bulan-bulan yang lain; akan tetapi jika jawapan itu sebaliknya? Tidakkah kita berasa rugi jika kita gagal mencari keampunan Allah di dalam Ramadhan ini? Oleh itu, benarlah sabda nabi S.A.W bahawasanya sesiapa yang diharamkan kebaikan pada bulan Ramadhan ini (tidak mengambil peluang untuk mendapatkan kebaikan) maka sesungguhnya mereka telah diharamkan (mendapat kebaikan pada bulan-bulan yang lain). Na'uzubillahi min Zaalik.
No comments:
Post a Comment
.:: Terima kasih sudi baca. Sila tinggalkan komen anda disini ::.