Tuesday, April 26, 2011

Sabar itu INDAH~

Dalam Islam, sabar itu terbahagi kepada tiga:

1.      Sabar untuk taatkan perintah Allah.

2.      Sabar untuk meninggalkan larangan Allah.

3.      Sabar dalam menghadapi musibah (ujian) daripada Allah.

Daripada pembahagian sabar ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa tanpa sabar kita tidak akan dapat mencapai matlamat ubudiyyah (penghambaan) kepada Allah. Dengan sabar kita akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat, manakala tanpa sabar kita akan kehilangan segala-galanya.

Mari kita memperincikan ketiga-tiga peringkat sabar itu:
  1. Sabar dalam Mentaati Perintah Allah
Bukan mudah untuk melakukan ketaatan kerana ia sesuatu yang tidak disenangi oleh hawa nafsu yang ada dalam diri kita sendiri. Usaha melakukan ketaatan samalah seperti “berperang” dengan sendiri. Namun, bagi orang yang sabar, ia melihat bahawa ketaatan itu umpama ubat – pahit tetapi itulah yang akan menyembuhkan. Walaupun betapa pahitnya mujahadah, sanggup ditempuh jua kerana mengharapkan manisnya syurga. 
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Perintahkanlah keluargamu supaya menunaikan solat dan bersabarlah dalam melakukannya. Kami tidak akan minta rezeki kepadamu (bahkan) Kamilah yang memberikan rezeki. Dan akibat terpuji adalah bagi orang yang bertaqwa.” (Surah Taha 20: 132)
Kalau kita benar-benar mengharapkan syurga, sabarlah dalam menempuh jalan ketaatan ini sepertimana Rasulullah s.a.w. dan 10 orang para sahabatnya yang telah dijamin syurga. Bagaimana mereka rela berkorban dan terkorban untuk beriman dan berhijrah di jalan Allah. Mereka sanggup hidup miskin, dihina, diboikot, meninggalkan kampung halaman, hatta mengorbankan nyawa untuk mentaati Allah dan Rasul. 
Untuk “bersama” berada di jalan mereka, renungilah perintah Allah ini, mafhumnya: “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan senja dengan mengharap keredhaan-Nya. Dan janganlah kedua-dua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikut orang yang hatinya telah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaan itu melampaui batas.” (Surah al-Kahfi 18: 28)
Bukan mudah untuk mencari rezeki yang benar-benar halal akhir zaman ini. Apabila kita menolak riba, pendedahan aurat, rasuah, judi, arak daripada sumber-sumber yang haram dan syubhat, besar kemungkinan kita tidak dapat merebut peluang membuat kekayaan atau terlambat untuk menikmati kesenangan. 
Namun mereka tetap menahan diri (sabar) kerana mengenangkan sabda Rasulullah s.a.w. ini, maksudnya: “Janganlah kamu merasakan bahawa rezekimu lambat datangnya, kerana sesungguhnya seorang hamba akan mati sehingga datang kepadanya rezeki yang terakhir (yang ditentukan untuknya), maka tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki, yakni dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram.” (Riwayat …)       
  1. Sabar Meninggalkan Maksiat
Walaupun meninggalkan maksiat tidak memerlukan tenaga berbanding melakukan ketaatan yang memerlukan tenaga, namun para ulama menyatakan bahawa meninggalkan maksiat jauh itu lebih berat daripada melakukan ketaatan. Contohnya, untuk meninggalkan perbuatan mengumpat, kelihatannya agak lebih mudah daripada memberi nasihat. Meninggalkan mengumpat, kita perlu “berdiam” diri sahaja. Sedangkan untuk memberi nasihat kita perlu mengeluarkan tenaga dan usaha untuk berkata-kata, mencari bahan dan masa. 
Namun, hakikatnya meninggalkan perbuatan mengumpat lebih payah daripada memberi nasihat kerana ia sangat disukai oleh hawa nafsu. Menceritakan aib orang lain lebih menyeronokkan daripada mengenang aib diri. Malah sering kali kita bercerita tentang kelemahan orang lain di belakangnya untuk menunjukkan kelebihan diri kita. Jadi, dalam pergaulan sesama manusia misalnya, apa-apa yang dilarang (diharamkan) melakukannya adalah lebih utama dilaksanakan berbanding dengan apa-apa yang disuruh lakukan. 
Lihat sabda Rasulullah s.a.w. ini yang bermaksud: “Jangan kamu saling marah-memarahi, jangan kamu saling berhasad dengki, jangan kamu kata-mengata.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tegasnya, tidak menimbulkan kebuntuan dalam pergaulan sesama manusia lebih perlu diutamakan daripada menghulurkan bantuan. Kata bijak pandai ini boleh dijadikan panduan: “Jika tidak dapat menjadi garam yang memasinkan ikan, janganlah jadi lalat yang membusukkannya.”     
  1. Sabar Ketika Ditimpa Musibah
Sabar jenis yang ketiga ini berada di luar ikhtiar manusia. Taat dan maksiat masih tergantung kepada kehendak manusia (masih boleh membuat pilihan), tetapi musibah datang terus daripada Allah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah.” (Surah al-Taghabun 64: 11) 
Manusia tidak mampu menahan musibah. Dalam hidup ini sering berlaku sesuatu yang tidak diingini, tidak dijangka apatah lagi yang diharapkan. Maka ketika itu hanya dengan bersabar kita boleh berdepan dengannya. Apa yang berlaku dalam hati kita sebenarnya lebih penting berbanding dengan apa yang berlaku di luar diri kita. Jadi jika sifat sabar sudah tersemat dalam hati, musibah dari luar yang besar bagaimanapun akan dapat dihadapi dengan sebaik-baiknya. 
Ada pandangan yang mengatakan bahawa sabar jenis yang ketiga inilah yang paling tinggi darjatnya, justeru kepedihan yang menimpa di hati sangat pedih. Orang boleh bersabar dengan kesusahan melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat, tetapi derita kegagalan, kematian, penyakit dan lain-lain musibah lebih menekan hati. Manakala ada pula yang berpandangan, musibah jenis yang pertama dan kedua lebih sukar kerana ia adalah musibah yang ikhtiyari (secara sedar dan boleh membuat pilihan), manakala kesabaran jenis yang ketiga lebih bersifat ijbari (terpaksa, tidak ada pilihan). 
Mereka yang berpandangan demikian,  menyatakan bahawa kesabaran Nabi Yusuf a.s. (yang menolak godaan isteri menteri Mesir) lebih tinggi daripada kesabaran Nabi Ayyub a.s. (yang ditimpa penyakit kronik). Ini kerana Nabi Yusuf mempunyai pilihan sama ada menerima atau menolak, tetapi Nabi Ayyub tidak boleh menolaknya lagi. Sama ada rela atau terpaksa, penyakit itu tetap menimpa. 
Ilmu kita terbatas. Ilmu Allah Maha Luas. Jika sabar itu tidak indah, bukan kerana ia tidak indah, tetapi mata hati kitalah yang kabur untuk melihat keindahan itu. Sama seperti kelawar yang tidak dapat melihat siang, bukan kerana kegelapannya tetapi siang itu terlalu terang dan mata kelawar tidak mampu menatapnya.

Sabar itu sesungguhnya akan memberikan keindahan pada fizikal kita. Sabar juga akan memberi keindahan pada jiwa dan perasaan kita. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa sabar itu ada dua. Pertama bersifat badani (fizikal). Sabar fizikal berupa seksaan, penyakit dan kesusahan yang menimpa jasad. Yang kedua bersifat rohani (spiritual) seperti ejekan orang, perpisahan, kekecewaan, kegagalan, kematian dan lain-lain yang kebanyakannya menekan nafsu dan bertentangan dengan kehendak diri.

Justeru, jika seseorang mampu bersifar sabar (ketika kesusahan menimpa fizikal dan rohaninya), maka dia akan memiliki dua keindahan. Pertama, keindahan fizikal dan kedua keindahan rohani. Sabar itu bererti “menahan”. Jika kita mampu menahan diri ketika melakukan ketaatan, meninggalkan maksiat dan ditimpa musibah, nescaya akan semakin indahlah wajah dan akhlak kita.

Sabar itu ada di hati. Apabila hati baik, wajah akan kelihatan cantik. Apabila hati baik, kita akan sentiasa dapat melihat kebaikan. Ya, bersabarlah! Do good, you will become good and feel good – buat baik, kita akan jadi orang baik dan kita akan merasai ketenangan dan keindahan dengan kebaikan itu. Sesungguhnya… sabar itu indah!

Sabar Itu Indah 

Petikan diambil dari blog gentarasa


No comments:

Post a Comment

.:: Terima kasih sudi baca. Sila tinggalkan komen anda disini ::.